Penerbitan Coast Guard Malaysia: Ops Helang

Idea untuk menerbitkan filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang bermula pada 2017.[4] Ia diarahkan oleh Pitt Hanif yang sebelum ini pernah menjadi pembantu pengarah untuk beberapa filem tempatan dan mendapat kerjasama penuh daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN); Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD); Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Maritim Malaysia.[1] Ia juga merupakan filem pertama dan terakhir arahan Pitt sebelum kematiannya pada Oktober 2019 akibat kemalangan bot.[4]

Penerbit filem ini, Muhammad Hady Yusry Makmor berkata, beliau bersama penerbit eksekutif Flying Deals, Rozita Mat Isa dan penulis skripnya, Jason Chong mengemukakan kertas idea kepada Maritim Malaysia untuk menerbitkan filem ini. Skrip filem ini kemudian dihasilkan dengan bantuan dan nashat daripada Maritim Malaysia menerusi beberapa siri perbincangan dan penambahbaikan. Menurutnya, selepas mendapat kelulusan dan dana untuk projek filem kenegaraan daripada FINAS, pihaknya bekerjasama dengan Arie Zaharie dari Arie Zaharie Production yang berminat untuk menerbitkan filem ini, yang pada awalnya diarahkan bersama oleh Hashim Rejab sebelum menarik diri.[4]

Menurut Arie Zaharie selaku penerbit, ia merupakan filem pertama di Malaysia yang mengetengahkan sebuah agensi penguatkuasaan laut khususnya Maritim Malaysia sebagai penegak kepada undang-undang negara dan memaparkan kemampuan dan aset yang dimiliki oleh Maritim Malaysia. Beliau juga menjelaskan pemilihan Pitt sebagai pengarah untuk filem ini kerana "kredibiliti dalam pengarahan termasuk lakonan dan lakon layar menjadi antara keistimewaan" yang dimilikinya. Katanya: "Kreativiti beliau dalam merealisasikan kehendak skrip selain memenuhi kemahuan para penerbit juga menjadi antara faktor pemilihan beliau sebagai pengarah filem kali ini".[1]

Penggambaran

Penggambaran dijalankan selama 55 hari di Langkawi, Kedah, Kuantan dan Jerantut di Pahang, Perlis dan Melaka dari 3 Ogos sehingga 24 Oktober 2019 dengan kos pembikinan berjumlah sekitar RM13 juta.[5][6] Kosnya dikawal berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu dan masalah jerebu yang melanda sepanjang penggambaran di Langkawi.[1] Selepas Pitt meninggal dunia, Arie dan penerbit eksekutif, Rozita Mat Isa meneruskan sesi penggambaran di lokasi darat sebanyak 2 peratus.[4]

Rujukan

WikiPedia: Coast Guard Malaysia: Ops Helang https://www.broframestone.com/2023/02/filem-coast-... https://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure... https://gempak.com/berita-terkini/filem-coast-guar... https://www.imdb.com/title/tt24581070/ https://ohbulan.com/filem-coast-guard-malaysia-ops... https://www.mstar.com.my/spotlight/wayang/2023/01/... https://www.utusanborneo.com.my/2023/01/20/filem-c... https://berita.rtm.gov.my/~berita/index.php/hibura... https://selangorkini.my/2023/02/filem-coast-guard-...